Download KARANGAN JEREBU PDF

TitleKARANGAN JEREBU
File Size88.4 KB
Total Pages5
Document Text Contents
Page 1

Masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.

Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali

melanda negara.

Bincangkan punca-punca berlakunya masalah jerebu dan kesan-kesannya .



Analisis soalan:

Tema/Isu : Masalah jerebu

Tugasan : bincangkan punca-punca berlakunya jerebu dan kesan-kesannya

Format : tiada (perbincangan)



FAKTOR JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat

pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang

tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam

takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005,

kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di

Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala

Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara

(IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006,

masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang

kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “

jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.

Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan

secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang

terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya

akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang

sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering

berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan,

sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila

angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama

ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks

Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan

menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera

lalu berlakulah jerebu.

Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan

juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh

pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula

melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu

malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat

pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar

sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit

demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar

jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula.

Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat

Page 2

sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya,

pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas

hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta

buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah

menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap

hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap

pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas

yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap

dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi

bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang

dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan

terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan

udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak

terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang

perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya,

sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di

negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan

alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-

asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh

mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak

pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan

asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut

prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.

Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang

buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi

tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh

aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya

langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis

kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat

perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar.

Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah

berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan

selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah

pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada

berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Similer Documents